Yang Ditampilkan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ganjaran Dosa Dihapuskan kerana Berpuasa ‘Arafah
Secara umumnya, bulan Zulhijjah dikenali sebagai bulan haji. Selain daripada itu, ia juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan terdapat di dalamnya banyak keutamaan dan kelebihan-kelebihan, terutamanya 10 hari terawal daripadanya.
Di antara amalan yang dianjurkan adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji.
Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Arafah? Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”
Hadis di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya.
Namun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai dosa yang diampunkan.
Pendapat pertama menyatakan, ia adalah khusus hanya untuk dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar seperti zina, memakan riba, sihir dan seumpamanya, maka ia tidak dapat dihapuskan dengan amalan-amalan soleh, akan tetapi hendaklah dengan bertaubat. Inilah pendapat jumhur ulama.
Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
Yang bermaksud: “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu.” (4:31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa dosa-dosa kecil akan dihapuskan dengan syarat menjauhi dosa-dosa besar, dan menjauhinya adalah dengan bertaubat daripadanya.
Manakala pendapat kedua pula, berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa-dosa kecil dan besar. Ini merupakan pendapat Ibn Munzir dan Ibn Hazm, serta Ibn Taimiyyah menyokong pendapat ini dan berhujah berdasarkan firman Allah SWT:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan.” (11:114)
Begitu juga dengan dalil-dalil lain yang menyebutkan mengenai keampunan sebagai ganjaran ke atas ketaatan yang dilakukan seperti berwuduk, berpuasa pada hari ‘Arafah, berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan lain-lain.
Sekiranya seseorang itu dosa-dosa kecilnya sedikit atau langsung tidak ada, maka dosa-dosa besarnya akan diringankan mengikut kadar perkara-perkara sunat yang dikerjakannya.
Seterusnya lafaz “الْبَاقِيَةَ” bermaksud tahun yang akan datang. Justeru, sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Arafah akan dihapuskan dosa-dosanya selama dua tahun. Hal ini adalah sama ada dia terselamat daripada terjerumus ke dalam dosa, atau jika dia ada melakukan perbuatan dosa, dosanya itu dihapuskan sebagaimana yang berlaku pada tahun yang lalu.
Sekiranya dia berpuasa pada hari ‘Arafah yang akan datang, sedangkan dosa-dosanya pada tahun yang lalu sudah dihapuskan dengan sebab puasanya yang lepas, maka tidak syak lagi dosa-dosanya yang lain akan diringankan, atau diangkat kedudukannya (darjatnya).
Begitu juga Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis berkenaan kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah secara jelas menyebutkan bahawa maknanya adalah dihapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa selama dua tahun — yakni setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Selain itu, dosa-dosa itu pula adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Namun, jika dia tidak memiliki dosa-dosa kecil, maka diharapkan puasa itu akan meringankan dosa-dosa besar yang dilakukannya. Jika dosa besar pun tiada, maka akan ditinggikan dan diangkat kedudukannya.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dosa-dosa yang dimaksudkan akan dihapuskan bagi sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Arafah adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Manakala dosa-dosa besar itu pula hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya. Inilah pendapat jumhur ulama.
Begitu juga sesiapa yang tidak ada baginya melainkan dosa-dosa besar maka akan diringankan buatnya daripada dosa-dosa itu berdasarkan kadar amalan sunat tersebut, dan sesiapa yang tidak ada baginya dosa-dosa kecil mahupun dosa besar, akan semakin bertambah timbangan kebaikannya dan diangkat kedudukannya.
Hal ini kerana Allah SWT sama sekali tidak akan mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan oleh para hamba-Nya.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya.
Dapatkan Sacha Inchi Oil GNI sebagai ikhtiar untuk kekal bertenaga sepanjang anda menjalankan ibadah puasa.
Sumber: 1
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Catatan Popular
Kekal Sihat dengan Mengawasi Pengambilan Makanan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan