Yang Ditampilkan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Hukum Zikir dalam Hati
Adakah zikir dalam hati juga diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT?
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi.
Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.
Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati; sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.
Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama.
Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT.
Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu.
Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak.
Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT.
Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq.
Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT.
Di samping itu, berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati.
Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.
Membaca al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam al-Quran sebagai pembacaan al-Quran.
Berzikir di dalam Hati
Firman Allah SWT:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً
Maksudnya: “Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.”
Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menukilkan pendapat Mujahid yang menyebut: “Mereka diperintahkan untuk mengingati Allah di dalam dada dengan penuh rendah diri dan juga penuh rasa takut.”
Ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu dihadirkan bersama dengan mengingati Allah SWT di dalam hati. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT:
وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ
Maksudnya: “Buat mereka yang takutkan maqam Tuhan mereka, ganjaran dua syurga.”
Imam Ibn Abi al-Dunya menukilkan tafsiran Mujahid ke atas ayat ini yang menyebut: “Dia adalah seorang lelaki yang hendak melakukan suatu dosa, kemudian dia mengingati kedudukan Tuhannya, lalu dia pun meninggalkan dosa tersebut.”
Maka jelas dari beberapa kenyataan di atas, zikir di dalam hati merujuk kepada mengingati Allah SWT serta merasai kebesaran dan ketinggian kedudukan Allah SWT di dalam jiwanya yang membawa dirinya kepada sikap rendah diri, serta takut kepada Allah SWT.
Imam Maimun Ibn Mihran berkata:
الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ، وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ عَلَيْهَا
Maksudnya: Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdhal dari itu adalah kamu mengingatiNya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.”
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, boleh kita simpulkan bahawa berzikir di dalam hati dalam erti kata mengingati Allah SWT dan mengenangkan kekuasaan serta kebesaran-Nya merupakan suatu sunnah yang dituntut di sisi syarak dan memberikan ganjaran pahala yang besar kepada para pelakunya.
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang memperbanyakkan zikrullah menerusi lisan dan juga melalui jantung hati.
Dapatkan Sacha Inchi Oil GNI sekarang.
Sumber: 1
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Catatan Popular
Kekal Sihat dengan Mengawasi Pengambilan Makanan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan