Yang Ditampilkan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Diet Tinggi Protein untuk Kurus, Selamat Ke?
Diet tinggi protein telah menjadi trend masa kini. Populariti diet ini tidak dapat disangkal lagi terutamanya dalam kalangan pengamal yang ingin menurunkan berat badan.
Pengambilan protein untuk diet jenis ini adalah sangat tinggi iaitu hampir 50% daripada jumlah kalori harian. Diet seharian sepatutnya membekalkan protein sebanyak 10% hingga 15% daripada jumlah kalori.
Pengamal diet tinggi protein sememangnya mengambil protein dalam jumlah yang berlipat kali ganda daripada keperluan asal tubuh.
Diet ini juga sangat rendah karbohidrat iaitu 10% sehingga 40% daripada jumlah kalori berbanding saranan normal iaitu 55% sehingga 65%.
Definisi Diet Tinggi Protein
Diet ini menggalakkan pengambilan protein yang sangat tinggi setiap hari.
Selain itu, diet jenis ini menyekat pengambilan makanan berkarbohidrat (berkanji) dan juga sekatan ke atas pengambilan buah-buahan.
Diet tinggi protein ini mungkin rendah kalori tetapi tinggi lemak dan/atau lemak tepu dan juga kolesterol. Selain itu, diet ini juga rendah serat, vitamin dan mineral akibat sekatan pengambilan karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia juga kurang variasi dan tidak memenuhi Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) Malaysia, 2005.
Adakah Diet Ini Berkesan Untuk Penurunan Berat Badan?
Penyelidik mengakui bahawa amalan diet ini dapat menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, tahap keselamatan untuk jangka masa panjang adalah diragui.
Cara Berat Badan Dapat Diturunkan Melalui Diet Ini
Apabila makanan berkanji diambil dalam kuantiti yang minimum, berat badan akan berkurangan disebabkan oleh kehilangan air daripada tubuh.
Bekalan karbohidrat (kanji) yang terhad ini menyebabkan simpanan gula (glikogen) dalam hati dan otot digunakan sebagai sumber tenaga.
Setiap 1 gram glikogen ini diikat bersama 2 gram air. Apabila ia dipecahkan, air akan turut hilang. Hampir 100 gram glikogen disimpan di hati, manakala 400 gram disimpan di otot. Penggunaan glikogen ini menyebabkan kehilangan berat sebanyak hampir 1 kg.
Apabila simpanan glikogen ini habis digunakan, badan terpaksa mencari punca tenaga alternatif iaitu lemak. Apabila lemak dipecahkan akan wujud keadaan yang dipanggil “ketosis”.
Ketosis akan membuatkan pengamal diet tidak rasa lapar. Ketosis juga mempunyai banyak kesan sampingan seperti pening, lesu, loya termasuklah rasa tidak selesa kepada pengamal diet tersebut.
Kebaikan Diet Tinggi Protein
Rasa kenyang yang lebih lama memberikan kepuasan kepada pengamal diet tinggi protein. Protein akan berada di dalam perut lebih lama berbanding dengan karbohidrat dan lemak.
Oleh itu, sesiapa yang mengambil banyak makanan berprotein akan berasa kenyang lebih lama. Berat akan berkurangan disebabkan pengamal diet tidak perlu kerap makan.
Walau bagaimanapun, ini hanyalah kesan jangka masa pendek. Biasanya berat badan akan mula bertambah setelah pengamal berhenti atau tidak lagi mengambil diet tinggi protein.
Keburukan Diet Tinggi Protein
Berat yang hilang pada peringkat awal bagi pengamal diet ini hanyalah akibat kehilangan air.
Diet ini dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung kerana pengambilan protein yang tinggi terutamanya daripada sumber haiwan menggalakkan kenaikan aras lemak tepu di dalam darah.
Lemak tepu yang tinggi akan menambahkan risiko penyakit jantung koronari, strok.
Sekatan pengambilan sayur dan buah pula akan mengurangkan pengambilan serat harian seseorang yang akan menjejaskan kesihatan kerana serat boleh membantu kawalan aras kolesterol.
Pengambilan protein yang tinggi juga boleh meningkatkan aras asid urik di dalam darah. Pengumpulan asid urik dikaitkan dengan penyakit gout.
Selain itu, diet tinggi protein untuk jangka masa yang lama akan membebankan buah pinggang dan hati. Kedua-dua organ ini perlu bekerja lebih untuk mengeluarkan ketone yang terhasil untuk dikumuhkan melalui urin.
Kajian Saintifik Tentang Diet Tinggi Protein
Dalam satu kajian yang dinamakan Nurses’ Health Study melibatkan 1,624 wanita dan mengambil masa 11 tahun (1989-2000), didapati individu yang mempunyai buah pinggang yang lemah dan mengambil protein yang tinggi terutama daripada sumber haiwan berkecenderungan untuk kehilangan fungsi buah pinggang dengan lebih pantas.
Amalan diet tinggi protein biasanya sukar untuk diikuti untuk jangka masa panjang.
Biasanya apabila pengamal diet tinggi protein ini berhenti dan bertukar kepada diet biasa, berat badan yang hilang akan naik semula.
Kenaikan berat badan yang banyak boleh berlaku selepas seseorang berhenti mengambil diet tinggi protein.
Konklusi
Adakah perlu mengamalkan diet tinggi protein untuk kurus?
Jawapannya, TIDAK PERLU!
Ada cara lain yang lebih selamat untuk mengurangkan berat badan anda.
Sayangilah badan anda dengan mengamalkan gaya hidup sihat untuk menurunkan berat badan serta kurangkan pengambilan kalori harian dengan memilih makanan yang kurang berlemak. Senaman dan riadah juga perlu untuk capai berat badan yang ideal.
Penurunan berat badan secara beransur-ansur adalah digalakkan berbanding dengan penurunan yang mendadak.
Oleh itu, ubahlah cara hidup ke arah yang lebih sihat serta amalkan senaman secara konsisten untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Dapatkan Sacha Inchi Oil GNI sekarang.
Sumber: 1
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Catatan Popular
Kekal Sihat dengan Mengawasi Pengambilan Makanan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan